Gempa bumi menggegarkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada jam 11.58 pagi ini. Ia ekoran gempa bumi berukuran 6.6 pada skala Ritcher yang belaku di Sumatera Utara.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, gempa bumi itu berlaku di 3.4 utara dan 98.8 timur, 35km tenggara dari Medan dan 267 km dari Barat Daya Bayan Lepas, tidak menyebabkan tsunami.
Jurucakap Balai Bomba Jalan Hang Tuah yang dihubungi mengesahkan menerima beberapa laporan daripada beberapa pejabat di sekitar ibu kota mengenai gegaran berkenaan.
"Antara kawasan yang menerima gegaran ialah Petaling Jaya dan sekitar ibu kota," katanya dalam laporan Bernama.
Bangunan tinggi
Di Pulau Pinang, Bernama memetik Pengarah Jabatan Meterologi Negeri, S Santira sebagai berkata, gegaran itu dapat dirasai kira-kira lima minit di beberapa bangunan tinggi di negeri ini berdasarkan kedudukannya yang
berdekatan Utara Sumatera.
Beliau berkata antara bangunan tinggi yang merasai gegaran itu ialah Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di Georgetown yang menempatkan pejabat-pejabat kerajaan dan kompleks membeli-belah.
Beliau bagaimanapun menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang dengan gegaran itu kerana gempa bumi itu tidak menyebabkan tsunami.
"Kita menerima panggilan daripada orang awam mengenai gegaran di Komtar dan mereka tidak perlu bimbang kerana gegaran itu tidak menyebabkan tsunami kerana kita tidak menerima amaran atau isyarat mengenainya," katanya.

No comments:
Post a Comment